Home RR Makan-Makan: G Tower

RR Makan-Makan: G Tower

by

Tersembunyi di tingkat paling tingginya, krew RRenovation menjenguk tempat menjamu selera yang khas bagi mereka yang inginkan santapan lazat penuh kualiti – The Club dan Tanzini.

g-tower

The Club menggayakan ruang terbuka yang bersisir pemandangan kotaraya Kuala Lumpur yang matang. Kedatangan kami disambut mesra dengan senyuman manis pelayan restoran. Kemudian, kami dihidangkan dengan juadah Barramundi Salad, Mee Bandung, Phad Khee Mao.

g-tower-restaurant

Sebagai pembuka selera, Barramundi Salad sememangnya menjadi pilihan berkhasiat. Ikan yang segar dengan kulit yang rangup terserlah pabila dijamu bersama rentetan sayuran segar. Kuah salad berasaskan serai pula membangkitkan lagi aroma salad ini. Phad Khee Mao pula diilhamkan oleh masakan Thai berasaskan makanan laut. Menggantikan mee kuning, cef menggunakan spaghetti yang cukup harmoni bersama makanan laut segar seperti udang, sotong dan kepah.

g-tower-salted-egg-yolk

Keseimbangan di antara rasa pedas, manis dan masam sememangnya menjadikan hidangan ini pilihan utama di The Club.

Bagi mereka yang menggemari sajian tempatan, Mee Bandung pastinya menjadi pilihan. Aroma rempah yang harum semerbak dengan kuah yang pekat menjadi cara pilihan menghidangkan juadah tempatan ini. Ditambah dengan rasa pedas yang menyelerakan, rasa puas selepas menghabiskan juadah mee ini.

Selanjutnya: Kafe Hipster Di Shah Alam

Berakhirnya senja, kami dibawa ke Tanzini di tingkat 28. Krew RRenovation berkesempatan untuk menikmati sajian fine dining bersama jelitawan, Carey Ng (Miss Malaysia Universe 2013) dan pereka fesyen tempatan, Justin Yap. Ruang dalaman yang ringkas tapi anggun memberi nafas sofistikated kepada restoran ini. Hidangannya juga sebati dengan konsep sofistikated. Cef memulakan makan malam kami dengan Salted Egg Yolk Soft Shell Crab sebagai pembuka selera. Rasa tempatan yang cukup harmoni bangkit dengan rasa jeruk halia dan telur padi yang menemani daun salad serta kerangupan ketam tersebut. Cef kemudian melembapkan tunas rasa dengan sup minestrone yang menyegarkan.

g-tower-restaurant-interior

Pembuka selera kedua kemudiannya disajikan; berupa Muscovy Duck Bangers iaitu sosej itik olahan cef tersendiri yang cukup berjus dan menyelerakan. Dan sebelum hidangan utama dikeluarkan, tunas rasa dibangkitkan lagi dengan sorbet epal istimewa ciptaan cef Tanzini tersendiri.

g-tower-duck

Selanjutnya: RR Resipi: Linguini in Mussel Saffron Sauce

Kami diberi pilihan sajian utama – Baby 1824 Beef Ribs dan Giant Tiger Grouper Light Curry Risotto. Keempukan daging lembu yang cair di dalam mulut menambat hati dengan kunyahan pertama. Risotto pula disajikan ala al dénte dan ikannya pula segar dan penuh rasa. Carey, Justin dan krew RRenovation cukup terpesona dengan kelazatan santapan yang dihidangkan. Bukan sahaja menyelerakan, malah kami terpinga-pinga meneliti dan memikirkan ramuan rahsia yang tersirat di dalam setiap sajian.

g-tower-baby-beef

Setelah puas menjamu selera, kami disajikan dengan pencuci mulut yang tampil cukup bergaya dan sofistikated. Frozen Hazelnut Praline diolah molek dengan tataan menarik hazelnut parfait, praline feuilletine, wild berries coulies, berries bubble dan raspberry crumbs.

g-tower-frozen-hazelnut-pralline

Tidak boleh dinafikan bahawa Tanzini di bawah jagaan Cef Johnny Fua sememangnya tempat mesti-datang untuk menikmati hidangan mewah penuh kualiti sambil dibuai pemandangan indah dari tingkat paling atas bangunan G Tower, bangunan ‘hijau’ pertama di Malaysia! Apa tunggu lagi, jom!

www.gtowerhotel.com.my; www.tanzini.com.my