Home RR Design Kediaman: Rekaan Praktikal D’Argenteuil

RR Design Kediaman: Rekaan Praktikal D’Argenteuil

by

Kediaman berkeluasan 150 meter persegi menjadi sebuah kediaman lengkap serta harmoni hasil kolaborasi gaya minimalis bersama ornate heritage element untuk tampil lebih elegan. Dua pereka muda RMGB, Baptiste Rischmann dan Guillaume Gibert’s berjaya mengubah suai kediaman Asnieres Sur Reine di Paris.

paris_argenteuil

Pemilihan putih sebagai warna utama ruang moden ini menjadi satu keputusan tepat. Ia menyediakan kanvas yang sempurna dan segar untuk sisipan sebalik karya kontemporari. Pemilihan perabot, karya seni yang menjadi hiasan pada dinding polos cukup menyerlah tatkala ditambah dengan teknik pencahayaan yang mampu menghidupkan ruang minimalis ini.

paris_argenteuil_1

Kemasan lantai  dengan pemasangan solunite resin pada ruang tamu memberi kesan rapi dalam ruang sosial ini, ideal bagi mencapai konsep kontemporari. Walaupun kelihatan ringkas dalam penataan elemen kreatif masih menjadi titik fokal dalam seni rekaan kediaman ini. Sofa fabrik Skala, Habitat menjadi pelengkap utama ruang tamu yang disusuli dengan kerusi Soft Pad daripada Charles dan Ray Eames. Manakala ottoman cork daripada rekaan Jasper Marrisson serta meja sisi biru Diana F. daripada Konstantin Grcic turut menambah serikan ruang tersebut.

Kehadiran lampu siling Glo Ball dan lampu terendak Cau, menyuntik keserasian dalam  memberi cahaya dalam ruang tamu kediaman Asnieres Sur Reine ini. Manakala tempat perapian yang direka dengan kemasan dari kayu chestnut dan keluli tahan karat turut di tempatkan di ruang tamu. Dinding putih dihiasai potret bayangan figura, menjadikan ia sebuah ruang berseni menarik perhatian sesiapa yang memandangnya.

paris_argenteuil_4

Kabinet pasang siap direka mengikut cita rasa pemilik yang memisahkan pintu masuk dan ruang dapur memberi idea menarik dalam penataan kediaman yang mempunayai keluasan yang agak terhad ini. Di dapur, lantai solunite resin masih menjadi pilihan, kabinet pulau direka dari kemasan chestnut dengan permukaan kerja dari Corian memberi keselesaan pada pemilik sewaktu melakukan kerja di ruang dapur. Lampu hiasan oleh Naoto Fukasawa turut ditempatkan di kaunter pulau ini, tambahan satu unit meja kerja yang dilengkapi kerusi Steelwood menyempurnakan ruang dapur kontemporari ini.

Melewati bilik tidur, monokromatik hitam dan putih berpadu secara harmoni. Menarik perhatian, dinding putih menjadi kanvas latar belakang terhadap lakaran lukisan wajah bayi, unik dan kreatif dalam penataan bilik tidur ini. Manakala, di sisi katil fabrik gelap disempurnakan dengan lampu dinding Tolomeo Parete membias bayangan dengan cahaya malap. Tampil cukup sempurna untuk sebuah ruang kontemporari yang inginkan gaya lebih santai mendamaikan.

paris_argenteuil_3

Mengimbas rekaan kamar mandi, ruang ini direka selari dengan konsep kontemporari ruang lain. Dekorasi pokok  hiasan kecil di lantai mirip pendekatan dekorasi ruang tamu. Faucet dari koleksi Da-da melengkapi tab mandi menawarkan pengalaman menyegarkan diri yang tenang. Tingkap kaca membawa masuk cahaya semula jadi, terbias diseluruh ruang dan menerangi lantai seramik stoneware beige. Keseluruhan  kediaman mendapat sentuhan ringkas penuh ciri tersendiri memberikan kepuasan kepada pemilik.

Untuk maklumat lanjut, sila layari: http://www.rmgb.fr