Home SEBALIK JANGKAAN

SEBALIK JANGKAAN

by

Kediaman baru kosong tanpa sentuhan berubah wajah menjadi teratak indah dengan pengisian perabot dan dekorasi berorientasi moden dengan sedikit sentuhan gaya eropah dalam ruang peribadi.

RRenovation39May-1

Terletak di Havea Kemensah Hulu Klang, Melawati, Semi D kluster tiga tingkat milik Syukry Saidein bersama isteri Raja Marzyani menerima sentuhan juru hias Laurea Home Furnishing Sdn Bhd.

Menghias kediaman bukan lagi cabaran baru bagi Laurea Home Furnishing Sdn Bhd, tetapi bagi mereka setiap kediaman ada ragam tersendiri. Pelan lantai yang berbeza membuatkan mereka perlu teliti dalam menata rias, untuk mendapatkan hasil yang diinginkan oleh tuan rumah.

Syukry Saidein dan isteri memberi kebebasan 100% kepada Pereka Laurea Home Furnishing Sdn Bhd untuk membuat pengubahsuaian kediaman mereka.

Bagi Pengarah Kreatif pasukan yang juga merupakan pemilik Laurea, Siti Hawa Ismail berbesar hati dengan kepercayaan diberi. Idea dan inpirasi dikupas dari masa ke semasa untuk mewujudkan rumah sempurna. Lima bulan masa diambil bagi menyiapkan kerja renovasi dan dekorasi.

Aliran moden jelas dalam rumah dengan susunan ruang kemas dalam pelan terbuka. Ruang tamu, ruang makan berada bersebelahan ruang dapur yang dipisahkan oleh kaunter bar menyuntik keserasian dalam penataan secara tidak langsung.

Di satu bahagian tingkat bawah, terletak sebuah bilik tidur direka penuh mendamaikan istimewa buat bonda Syukry Saidein. Katil dengan headboard berwarna moss green ditempatkan pada dinding putih cukup menyerlah. Tatkala, langsir bercorak bunga kecil yang menjalar serta hiasan sejambak bunga hidup di meja solek menyuntik elemen feminin. Kamar ini di tingkat bawah bagi memberi keselesaan kepada bondanya tanpa perlu bersusah payah ke tingkat atas.

RRenovation39May-3

Menarik pandangan ketika kaki melangkah melalui tangga ke aras dua. Unit rak direka dalam tulis jawi dipasang pada dinding laluan. Jelas Siti Hawa, rak Iqra ini direka atas permintaan pemilik. Plywood dipotong dan dicantum membentuk perkataan iqra lalu dicat dalam warna lebih gelap.

RRenovation39May-jawirack

Tingkat dua pula merangkumi kamar tidur anak gadis mereka Puteri Fatin Aliya, dan sebuah lagi dihias dengan ciri bilik anak lelaki. Buat kamar Puteri Fatin Aliya diberi sentuhan indah dengan sedikit suntikan elemen rekaan eropah. Langsir warna plum menabiri tingkap. Satu lagi bilik tidur di aras ini dihias moden dan ringkas dalam dominasi warna biru aegean.

RRenovation39May-girlroom

RRenovation39May-5

Di tingkat ini juga terletaknya bilik audio visual direka bersama ruang kerja. Warna gelap dipilih untuk kertas hiasan dinding, perabot utama seperti sofa serta konsol dan panel televisyen untuk mewujudkan suasana kelam persis dalam cinema. Gandingan bersama warna merah untuk kemasan langsir serta kusyen sofa dan hiasan tambahan seperti lilin menyuntik rasa santai tatkala berada di ruang menonton. Warna berani ini merupakan warga kegemaran Puteri Fatin Aliya.

RRenovation39May-audioroom

Menjengah ke bilik tidur utama berada di tingkat tiga. Cermin bronze digayakan untuk mewujudkan pembahagian ruang. Anggun dan menarik, kepala katil direka bergaya chesterfield sekali lagi turut menjadi dinding tumpu untuk bilik ini.

RRenovation39May-2

Bagi Syukry Saidein berpindah masuk ke kediaman ini bersama keluarga sekitar dua bulan lalu dengan hasil dekorasi ini melangkau jangkauan fikiran. Selesa dan praktikal membuatkan mereka banyak menghabiskan masa di rumah berbanding di luar.

Pereka: Laurea Home Furnishing Sdn Bhd
Tel: 019-3317422 / 03-51034423