Himpunan villa baru di Nikko Bali Resort & Spa mengupas intipati asli Bali selain memberi sentuhan kontemporari dengan keselesaan moden buat suasana resort yang menjadi tagihan pengunjung dari setiap pelosok dunia. Dari kemesraan urat-urat kayu yang terpampang jelas ke ketenangan air kolam hijau zamrud yang mengasyikkan, RRenovation berehat sejenak sambil membawa anda menjelajah ruang dalaman resort yang indah ini.
Terselit di antara ketenangan lautan membiru dan kemesraan alam, Nikko Bali Resort Hotel & Spa yang terletak di Nusa Dua merupakan salah satu daripada beratus resort di pulau ini. Resort 5 bintang ini baru-baru diberi wajah baru dengan penambahan 19 vila menghadap taman dan pantai, sebuah villa lounge exclusive, dewan pelbagai guna serta sebuah gazebo untuk majlis perkahwinan. Projek ini dilaksanakan oleh Grounds Kent Architects, JPA Design Consultants dan Intaran Design.
Selanjutnya: Percutian Mewah Di Sepanyol
Menjenguk villanya, rasa mesra terhidu tatkala dari pintu hadapan. Siling menampakkan rangka kayu yang bersilih ganti dengan bumbung shingles. Palet serba putih diolah ringkas seperti yang terpapar pada cadar katil, dinding dan ambal. Setiap bilik tidur villa lengkap dengan bilik mandi serta kolam air peribadi menghadap gazebo. Pasti menjadi tempat santai sempurna buat pasangan beradu.
Bilik mandinya pula indah bertatah marmar gilap dengan tab mandi yang khas ditempah untuk resort ini. Pancaran cahaya semulajadi memberi ruang ini kesenangan berselit nafas segar dari pohon-pohon rendang yang terpaku di sekitar perimeter bilik mandi. “Panorama indah lautan yang meluas dan mengusik kalbu menjadi sebab ramai penginap resort ini terpegun walaupun selepas check-out. Dengan pengubahsuaian ini, kami ingin menyuntik lebih rasa elegan dan selesa kepada para pengunjung agar penginapan di Bali kekal di memori selama-lamanya. Kami memastikan setiap keperluan tetamu ditepati dan dipenuhi sebelum diwarwarkan. Itulah pegangan kami di Bikko,” ungkap Jean-Charles Le Coz, Pengurus Besar Nikko Bali Resort & Spa.












