Kediaman di D’Prestij, Kajang yang direka bentuk khas oleh Ian Chew dari X Dimension untuk Wirama Elegan menggapai perhatian anda untuk meninjau dengan lebih dekat hasil kreatif yang ditumpukan khas di pojok-pojok yang jarang diberi perhatian.
Berkonsep gaya kontemporari, Ian menyuntik kelainan dengan gaya tersendiri beliau. Dari ruang tamu, kelihatan kombinasi sofa berfabrik jean yang dipasang pada rangka sofa kayu terpakai. Untuk mengekalkan nafas kontemporari, sebuah daybed yang sleek dan elegan disesuaipadankan bersama. Palet kelabu mesra sedikit keunguan mencungkil perhatian anda. Lihat juga pilihan fabrik bantal berpetak yang cukup kena dengan ruang paparan ini.
Sedikit ke ruang makan pula, paparan ringkas ala industrialis berselit palet neutral dikarangkan di atas ambal perang. Dongak ke atas, siling dua tingkat mengajak anda menikmati elemen geometri penuh gaya dari tingkat bawah ke tingkat atas. Sekali pandang, mungkin terlepas dari paparan dinding batu-bata yang cukup elegan ditampilkan pada seluruh dinding dua tingkat ini. Elegan dan penuh karakter artistik, hasil buah fikiran pereka bentuk dalaman X Dimension ini.
Menjenguk di sebalik dinding batu-bata, dapur tampil indah dengan lukisan potret wanita pada dinding kelabu gelap. Sentuhan dinding batu-bata diolah pada ruang backsplash dapur untuk keseragaman. Kaunter bar putih dengan rangka venir kayu menampakkan gaya kontemporari penuh nafas mesra. Di sini, dinding yang diserikan lagi dengan grafik typography mengajak anda membaca ayat demi ayat yang dipersembahkan. Hampir tenggelam kabinet dapur hitam gilap yang tertera di antara ruang dapur yang penuh elemen-elemen menarik ini.
Selanjutnya: Ketahui 3 Bentuk Meja Makan Sebelum Membeli
Ruang santai umum tingkat atas pula ditampilkan ringkas dengan beanbags yang ditaburkan sekitar ruang terbuka yang beralas lantai kayu ini. Dinding paparan batu kasar dengan kepala rusa yang menghias dinding serba-sedikit mengusap nada sleek ruang ini. Pejabat peribadi pula mengupas konsep maskulin yang cukup berkesan dalam palet kelabu. Meja inspirasi Timothy Oulton dengan kerusi Windsor menggapai minat untuk terus menerokai ketelitian yang disampaikan.
Bilik tidurnya pula direka indah dalam palet neutral yang dingin. Kelihatan fabrik berpetak dipaparkan indah pada dinding paparan serta cadar katil untuk keseragaman. Ruang bilik yang disinari cahaya semulajadi juga menjadikannya tampil selesa, senang dan cukup mengundang. Selain itu, bilik yang satu lagi membawa gaya loft ala New York dengan rona biru menyala dari ambalnya. Dinding paparan berupa jubin dalam aturan brickstyle menjana lebih gaya menarik. Kegilapan kemasan jubin menjadikan ruang ini cukup sofistikated biarpun warnanya sedikit liar.
Si kecil pula pasti teruja dengan bilik tidur berdinding Pantone yang meletup dengan percikan warna-warna pelangi! Selain memutik minda si kecil, bilik ini mengekalkan keceriaan tidak kira umur anda.
Selanjutnya: Atasi Fobia Gelap
Keperincian yang diterjemahkan menampakkan kematangan pereka dalaman ini dalam menghasilkan rekaan ruang dalaman yang bukan sahaja menarik malah menyentuh perasaan dari dalam. Pastinya projek harus diberi pujian!


720x300-px1-scaled.jpg)









